Saturday, 25 June 2011

E-Novel Cerita Cinta Kita Bab 24

Bab 24 

Cuaca agak mendung petang itu. Angin yang bertiup, terasa mendinginkan tubuhnya. Humayra menunggu kedatangan Ridwan di Tasik Perdana itu dengan penuh sabar. Dia harus menyelesaikan segala-galanya hari ini. Semuanya harus dinokhtahkan! Selepas waktu persekolahan tadi, dia telah menghubungi Ridwan. Dia mahu berjumpa dengan sepupunya itu berhubung dengan perkara yang berlaku semalam.
            Humayra mengeluh. Mengingati perkara yang berlaku semalam membawa ingatannya kepada Hasif Harraz. Selepas suaminya itu keluar semalam, sehinggalah hari ini Hasif Harraz masih belum pulang. Sudah puas didail nombor telefon suaminya, tapi ternyata suaminya itu mematikan telefon. Hatinya risau memikirkan keadaan Hasif Harraz.
            “Dah lama tunggu?”
            Sapaan Ridwan mematikan lamunannya yang jauh menerawang memikirkan Hasif Harraz. Lantas dia menoleh ke belakang. Memandang Ridwan yang sedang tersenyum itu. Entah kenapa, dia sudah tidak mampu membalas senyuman abang sepupunya itu.
            “Kenapa Mayra nak jumpa abang ni? Rindu dekat abang ye?”
 Ridwan masih bersikap biasa. Dia berpura-pura tidak melihat mata Humayra yang agak sembap. Dia tahu kerana apa itu. Setelah mendapat panggilan daripada Humayra tadi, dia berasa gembira sekali. Selalunya, apabila dia menghubungi Humayra, perempuan yang dicintainya itu jarang hendak menjawab panggilannya.
            Humayra memusingkan badannya ke kanan apabila Ridwan sudah pun berada di sebelahnya.  Diangkat wajahnya memandang Ridwan.
            “Kenapa Abang Wan serang Arraz semalam?” Malas hendak menjawab soalan yang dirasakan tidak penting daripada Ridwan, dia pula yang mengutarakan soalan kepada lelaki itu. Dia mahukan penjelasan.
            Ridwan yang sudah pun menjangkakan soalan itu pula hanya tersenyum. Dia hanya memandang ke hadapan tanpa sedikit pun menoleh ke arah Humayra. Dia sebenarnya sudah dapat mengagak tujuan Humayra mengajaknya untuk berjumpa. “Cepat betul lelaki tu mengadu dekat Mayra. Hmm.. apa lagi yang dia cerita dekat Mayra?”
            Humayra tidak menyangka sama sekali Ridwan akan berkata begitu. Buat masa ini, dia berasa kesal dengan sikap Ridwan. “Abang Wan tak patut tumbuk Arraz!”
            “Dia memang patut terima tumbukan tu! Lelaki macam tu ke yang Mayra nak bela sangat? Tak ada untungnyalah. Pandang abang ni, Mayra.”
            Ridwan memegang bahu Humayra.
Dia memandang tepat ke dalam mata Humayra. “Abang cintakan Mayra. Abang tahu hanya abang yang layak untuk Mayra! Cuba bagi abang peluang untuk buktikan dekat Mayra yang abang ni lebih baik dan berguna daripada suami Mayra tu. Tinggalkan Arraz! Mayra takkan rasa bahagia dengan lelaki macam tu!”
            Humayra pantas menjatuhkan tangan Ridwan di bahunya dengan kasar. Dia cukup benci jika ada lelaki yang bukan mahram menyentuh dirinya. Dengan berani Humayra membalas pandangan mata sepupunya itu.
            “Berapa kali lagi Mayra nak cakap. Mayra tak cintakan Abang Wan! Mayra hanya anggap Abang Wan macam abang Mayra sendiri. Please.. tolonglah faham! Buangkanlah perasaan cinta Abang Wan untuk Mayra tu. Kita ni sepupu! Kenapa Abang Wan buat Mayra macam ni? Kenapa Abang Wan masuk campur dalam rumah tangga Mayra?!”
            Humayra sudah tidak mampu untuk menahan sabar lagi. Sikap Ridwan dirasakan sudah melampau. Jika dulu, dia mampu untuk  berkongsi apa sahaja dengan lelaki itu, kini tidak lagi. Selepas Ridwan meluahkan perasaan terhadapnya, dia sudah berasa tidak selesa dengan lelaki itu. Lelaki itu juga semakin kerap kali mengganggunya. Hampir setiap hari, ada sahaja panggilan telefon dan pesanan ringkas daripada Ridwan. Humayra benar-benar rimas!
            Ridwan agak terasa dengan kata-kata Humayra tadi. Tapi, apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan Humayra juga. Dia tidak akan membiarkan Humayra hidup menderita bersama lelaki tidak berguna itu!
            “Walaupun sepupu, kita tetap masih boleh berkahwin! Apa lebihnya dia? Apa kurangnya abang? Atau sebab kita ni sepupu? Sebab tu Mayra tak mahu terima abang. Macam tu ke?” Ridwan masih mahu mendesak Humayra.
            Humayra mengeleng-gelengkan kepalanya. Dia sudah kehabisan idea bagaimana untuk membuatkan Ridwan faham  bahawa dia tidak akan mampu untuk membalas cinta lelaki itu.
“Habis tu, sebab apa Mayra tak boleh terima cinta abang ni? Mayra.. abang kenal Arraz tu lelaki jenis macam mana. Dulu abang selalu nampak dia usung perempuan keluar masuk hotel. Terutamanya si Camelia. Apa maknanya kalau macam tu? Itu ke suami yang Mayra nak pertahankan sangat? Mayra takkan pernah bahagia dengan dia. Percayalah cakap abang ni. Lagi pun, dia tak cintakan Mayra!”
            “Tapi.. Mayra cintakan dia!”
            Ridwan terkesima mendengar jawapan Humayra. Pengakuan Humayra yang tegas mengatakan dia mencintai Hasif Harraz sama sekali tidak diduga langsung. Mulutnya serta-merta terkunci.
            “Mayra tak pedulikan semua tu. Dia nak usung siapa pun, Mayra tak kisah. Apa yang Mayra tahu, Mayra cintakan dia. Baik buruk dia, dia tetap suami Mayra!” ujar Humayra penuh ketegasan.
            Sebenarnya dia agak terkejut mendengar kata-kata Ridwan sebentar tadi. Setahunya, sejahat-jahat Hasif Harraz, suaminya itu langsung tidak pernah membawa perempuan masuk ke bilik. Tetapi, bagaimana pula dengan apa yang baru diberitahu oleh sepupunya itu? Tidak mungkin Ridwan berbohong! Adakah benar sikap Hasif Harraz sebegitu teruk?
            Humayra berpusing membelakangi Ridwan. Dia tidak mahu air mata yang mengalir di pipinya dilihat oleh lelaki itu. Dia tidak mahu kelihatan lemah!
            “Mayra harap Abang Wan faham apa yang Mayra cakapkan tadi. Lepas ni, tak payahlah Abang Wan selalu call Mayra. Mayra minta tolong sangat.. jangan pernah ganggu Mayra lagi. Mayra ni isteri orang. Mayra nak Abang Wan tahu. Abang Wan sepupu Mayra, dan sampai bila-bila pun Abang Wan akan tetap jadi abang sepupu Mayra!”
            Namun, baru sahaja dua langkah kakinya berlalu, dia berhenti menapak.
 “Jangan sesekali pernah suruh Arraz ceraikan Mayra. Mayra takkan tinggalkan Arraz. Walau apa pun yang berlaku, Mayra akan pastikan penceraian tu takkan berlaku dalam rumah tangga kami!”
            Tanpa membuang masa Humayra pantas berlalu meninggalkan Ridwan. Suara Ridwan yang memanggil-manggil namanya hanya dibiarkan. Kali ini, dia benar-benar berharap yang Ridwan akan memahami apa yang diingininya. Dia juga berharap, Ridwan tidak akan mengganggu rumah tangganya lagi!

            “Nah!”
            Asyraff memberikan satu mug berisi air milo kepada Hasif Harraz yang begitu kusyuk menonton televisyen. Langsung tidak teralih tumpuan lelaki itu. Hanya selepas dia memanggil, barulah lelaki itu berpaling memandangnya.
            Hasif Harraz mengambil mug yang diberikan oleh Asyraff. “Thanks Raff!”                  
            Asyraff duduk bersebelahan Hasif Harraz di atas sofa yang sama. Wajah sahabatnya itu dikerling. “Sampai bila kau nak duduk dekat apartment aku ni, Raz? Kau tak nak balik rumah kau ke?”
            “Kalau kau nak halau aku, cakap terus-terang ajelah Raff. Tak payah nak berkias-kias dengan aku. Kalau kau tak suka aku dekat sini, aku boleh blah pergi tempat lain. Bukannya aku tak mampu nak sewa hotel ke apa ke.” Hasif Harraz mula terasa hati dengan sikap Asyraff. Dia tahu kehadirannya tidak disenangi oleh sahabatnya itu.
            “Woi! Apa ni, Raz?! Aku bukannya nak halau kau. Aku tanya je. Sampai bila kau nak duduk dekat sini? Kau tak kesian ke dengan Mayra tu? Mesti dia tengah risau fikirkan kau sekarang ni. Niat aku bukannya nak suruh kau keluar dari apartment aku ni, tapi aku sarankan supaya kau baliklah, Arraz. Kesian Mayra sorang-sorang dekat banglo besar kau tu!”
            Asyraff cuba untuk memujuk Hasif Harraz. Baginya, tindakan Hasif Harraz yang keluar rumah tanpa memberitahu Humayra bukan jalan penyelesaiannya. Malah, tindakannya itu mungkin akan memburukkan lagi keadaan.
            Hasif Harraz mengeluh.
            “Aku tak nak bersemuka dengan dia lagi buat masa ni. Aku..” Ayatnya terhenti. Perasaannya bercampur-baur. Rasa menyesal turut dirasainya. Mengenangkan semula kata-kata yang dilontarkan kepada isterinya malam itu, timbul seribu penyesalan di dalam hati.
            “Kalau korang ada masalah, selesaikan elok-elok. Arraz.. kau bertolak ansurlah sikit dengan Mayra tu. Kau tu suami. Sepatutnya cuba cari jalan keluar untuk masalah kau ni. Bawak-bawaklah berbincang dengan isteri kau tu. Ini tak, ada masalah kau lari datang sini. Isteri kau Mayra tu terkapai-kapai dekat sana. Suami isteri kenalah sentiasa tanggung masalah sama-sama. Ini tak, sorang dekat rumah aku. Sorang lagi dekat rumah sendiri. Apa kes ni, Raz?”
            “Fuyoo..! Macam ustazlah kau ni, Raff. Tak sangka aku. Macam dah ada pengalaman je dengan masalah aku ni?” Sakat Hasif Harraz sambil terenyum. Masalahnya dengan Humayra cuba dilupakan.
            Asyraff menjeling.
“Hah! Itulah kau. Aku cakap kau gelakkan aku. Macam ustazlah. Apalah. Bukannya apa, Raz. Kau tu kawan aku. Aku cuma nak nasihatkan kau je. Ingat sikit tanggungjawab kau tu. Jangan nak fikir diri kau je. Ingat sikit yang kau tu dah beristeri. Kalau dulu masa kau belum kahwin, tak apalah. Kau nak terbongkang ke dekat sini. Nak apa ke.. aku tak kisah. Tapi, sekarang ni dah lain. Sedar-sedar sikit diri kau tu dah jadi laki orang!”
            Hasif Harraz hanya mendiamkan diri. Namun, diam tidak bermakna dia tidak memikirkan kata-kata sahabat baiknya itu.
            “Kau baliklah, Raz. Bincang baik-baik dengan Mayra. Jangan sampai bergaduh lagi pulak. Nanti mulalah kau patah balik datang apartment aku ni hah!” Asyraff melihat Hasif Harraz hanya memandang ke arah televisyen di hadapan mereka itu. Masih diam membisu.
            “Kau dengar tak apa aku cakap ni? Balik rumah kau tu hari ni.” Bahu Hasif Harraz ditepuk perlahan. Sahabatnya itu nampak tersentak.
            “Tengoklah dulu macam mana!” ujar Hasif Harraz sebelum bangun dan berlalu masuk ke dalam bilik.
            Asyraff hanya mampu menggelengkan kepala.

Kabinet dapur dibuka. Humayra mencapai sebuah bekas yang mengandungi ubat-ubatan di situ. Sepapan Panadol dikeluarkan. Kepalanya sakit gara-gara memikirkan Hasif Harraz yang sudah hampir dua hari tidak pulang ke rumah. Risau hatinya jika sesuatu yang buruk berlaku kepada suaminya itu.
            Sempat jam yang tergantung di sudut dapur itu dilihat. Sudah jam tiga pagi. Walaupun suasana agak gelap ketika itu, namun dengan sedikit biasan dari cahaya lampu luar sudah cukup untuk Humayra melangkah ke dapur tanpa memasang lampu.
            Air kosong yang sedia ada di dalam jag kaca itu dituang sedikit ke dalam gelas. Selepas menelan dua biji Panadol, Humayra meminum air tadi. Baru sahaja dia hendak meletakkan gelas tersebut ke dalam sinki, telinganya menangkap bunyi sesuatu. Pergerakan Humayra terhenti. Diamati lagi bunyi itu.
            Semakin lama bunyi derapan kaki itu semakin menghampirinya. Jantung Humayra berdegup pantas. Takut memikirkan sebarang kemungkinan. Tambahan pula, ketika ini Hasif Harraz tiada di rumah. Humayra berjalan perlahan ke arah peti sejuk. Walaupun ketika itu perasaan takut sudah menyelubungi hatinya, dia masih mampu untuk mengawalnya. Tiba-tiba, bunyi derapan kaki itu hilang. Humayra kaget.
            “Arraz, awak ke tu?”
            Humayra memberanikan diri mengeluarkan suara. Hanya dia dan Hasif Harraz sahaja yang memiliki kunci banglo mereka. Jadi, berkemungkinan derapan langkah kaki itu milik suaminya!
            “Arraz...” Panggil Humayra lagi. Matanya cuba menangkap sebarang pergerakan di hadapannya dalam keadaan gelap itu. Humayra semakin takut apabila panggilannya tidak disahut. Ya ALLAH! Siapa tu?
            Tiba-tiba, Humayra terasa seseorang menekup mulutnya. Tangannya juga sudah ditarik kasar ke belakang. Humayra kaget. Dia tidak tahu siapa yang telah menyerangnya dari arah belakang itu. Dia benar-benar dalam ketakutan! Humayra meronta-ronta kuat mahu melepaskan diri.
            Ternyata tenaga yang dimiliki oleh seseorang yang telah memecah masuk banglonya lebih kuat daripadanya. Dia tahu orang itu pastinya lelaki. Dia dapat merasakan tapak tangan yang sedang menutup mulutnya itu lebih besar berbanding dengan tangan kaum wanita.
            Lelaki itu mahu membawa Humayra keluar dari situ. Tubuh Humayra ditarik menghampiri pintu dapur. Namun, belum pun sempat sampai di pintu dapur sesuatu telah berlaku. Humayra terdorong ke hadapan akibat ditarik seseorang.
            “Hoi! Kau buat apa dekat isteri aku hah?!”
            Lelaki itu tersungkur akibat menerima tendangan daripada seseorang. Humayra terpana. Terkejut dia melihat kehadiran Hasif Harraz di situ. Tiba-tiba sahaja suaminya itu muncul. Matanya hanya memerhatikan suaminya yang sedang berdiri di hadapannya. Tangan kiri Hasif Harraz memegang erat lengan kanannya. Berniat mahu melindungi dirinya.
            “Kau okey? Dia ada buat apa-apa dekat kau?” tanya Hasif Harraz perlahan.
            Humayra pantas menggeleng. Tidak sedar tindakannya itu pasti tidak akan dapat dilihat oleh Hasif Harraz dalam keadaan samar-samar itu. Saat itu, suaranya sudah tidak mampu untuk dikeluarkan. Dia masih berasa terkejut dengan apa yang baru sahaja berlaku ini.
            “Aku tanya kau ni?! Dia ada buat apa-apa dekat kau tak?!” ujar Hasif Harraz mengulangi soalannya tadi. Nadanya berubah sedikit keras selepas tidak mendapat balasan daripada isterinya itu.
            “Err.. tak.” Humayra menjawab pendek.
            Hasif Harraz melihat lelaki yang ditumbuknya tadi sudah berdiri semula. Susah dia hendak mengecam penyerang itu kerana lelaki yang telah menyerang isterinya ini memakai penutup muka. Hasif Harraz menapak ke hadapan menghampiri lelaki itu.
            “Kau nak apa masuk rumah aku ni?!”
            Hasif Harraz sudah pun memegang kuat leher baju lelaki itu yang berpakaian serba hitam. Tangannya sudah mahu mahu menarik penutup muka lelaki itu. Mahu melihat wajah disebalik penutup muka. Tapi, sayangnya lelaki itu lebih pantas bertindak. Tubuh Hasif Harraz ditolak kasar. Hasif Harraz terdorong ke belakang.
            Humayra tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu. Tiba-tiba dia terpandang sebatang kayu mop yang terletak di suatu sudut dapur. Pantas dia mahu mengambil batang kayu tersebut. Hanya kayu itu yang mampu menjadi senjatanya saat ini untuk melindungi dirinya dan juga suaminya.
            Lelaki itu serta suaminya masih saling berbalas tumbukan. Humayra hanya menunggu masa yang sesuai untuk memukul belakang lelaki itu. Peluang itu datang juga. Dengan sekuat tenaga, Humayra pantas mengetuk kuat kayu mop itu ke belakang lelaki itu. Serta-merta pergerakan si penyerang terhenti.
            Humayra kaget! Lelaki itu sedang merenungnya tajam. Walaupun suasana gelap ketika itu, namun pandangan tajam lelaki itu dapat dilihatnya. Lelaki itu semakin menghampiri. Humayra berundur selangkah demi selangkah ke belakang. Hasif Harraz pula sudah terbaring di atas lantai akibat ditendang oleh lelaki itu tadi.
            “Arraz.. bangunlah..!”
Humayra memohon pertolongan daripada Hasif Harraz. Berharap lelaki itu akan menyelamatkannya. Hanya suaminya itu yang menjadi harapannya saat ini.
            Humayra semakin takut. Lelaki itu sudah begitu hampir dengannya. Ya ALLAH! Humayra sudah pun bersandar ke tepi dinding. Tiada ruang lagi untuknya menyelamatkan diri. Air mata mengalir perlahan. Matanya sudah terpejam. Dia hanya mampu berserah! Baru sahaja lelaki itu mahu mencekiknya, tiba-tiba dia terdengar bunyi kuat. Lelaki itu sudah jatuh ke lantai. Diam tidak berkutik.
            Hasif Harraz telah menarik bahu lelaki itu. Lelaki itu terjatuh ke arah meja makan selepas menerima pukulan padu daripada suaminya itu. Pantas Humayra mendapatkan Hasif Haraz. Lengan suaminya itu dipeluk erat. Hasif Harraz yang sudah pun cedera dengan kesan lebam di muka hanya membiarkan. Hasif Harraz menoleh memandang Humayra.
            “Ada luka dekat mana-mana?” tanya Hasif Harraz sambil memerhatikan isterinya itu dari atas hingga ke bawah. Nada suaranya sudah tidak tinggi lagi. Dia pasti akan rasa menyesal jika lelaki tadi berjaya mencederakan Humayra. Nasib baiklah dia pulang ke banglo mereka itu. Jika tidak, dia tidak tahu apa yang akan berlaku kepada Humayra. Andai sesuatu yang buruk terjadi kepada Humayra, dialah yang harus dipersalahkan!
            “Tak ada..” jawab Humayra perlahan. Suaranya sedikit bergetar. Masih trauma dengan kejadian yang baru sahaja berlaku ini.
            Hasif Harraz memandang tepat ke arah mata Humayra. Begitu juga dengan Humayra.  Humayra sudah tidak mampu untuk mengawal perasaannya. Empangan air matanya pecah. Teresak-esak dia menahan rasa sedihnya. Dia benar-benar memerlukan lelaki itu dalam hidupnya. Hasif Harraz menarik Humayra ke dalam pelukannya. Perlahan-lahan diusap belakang isterinya itu.
            “Syhh.. jangan risau. Aku ada dengan kau.” Hasif Harraz masih memujuk Humayra yang masih dalam ketakutan itu.
            Tiba-tiba Hasif Harraz mengaduh kesakitan. Bunyi kaca berderai mengejutkan Humayra. Pantas dia meleraikan pelukannya. Wajah suaminya dipandang. Wajah suaminya itu berkerut dan tangannya memegang kepalanya. Humayra melihat belakang Hasif Harraz. Terbeliak matanya melihat lelaki yang disangkanya sudah pengsan itu sedang memegang sesuatu di tangannya sebelum berjaya menghilangkan diri. Kaca!
 Humayra lekas meriba Hasif Harraz yang sudah pun terbaring di atas lantai. Tangannya menyentuh kepala Hasif Harraz. Terasa ada benda cair di situ. Tangannya terketar-ketar apabila dia yakin cecair itu adalah darah!
“Arraz..” panggil Humayra.
 “Arraz.. bukak mata awak!”
 Humayra menggerak-gerakkan tubuh suaminya itu. Pipi Hasif Harraz ditampar lembut. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya kala ini.
“Ya ALLAH.. Arraz, bangunlah. Jangan buat saya macam ni. Jangan takutkan saya!”
Mata Hasif Harraz sudah terpejam rapat. Humayra semakin takut apabila mendapati lantai yang sedang didudukinya itu semakin disimbahi dengan darah. Tanpa membuang masa, dia lantas berdiri. Suaminya itu perlu di bawa ke hospital. Dia tidak mahu kehilangan Hasif Harraz!
“Awak mesti bertahan, Arraz!”

p/s ; Novel CCK sudah pun berada di pasaran.. Jangan lupa untuk dapatkannya yer.. ;)

7 comments:

  1. saya dah baca novel nih..mmg best sgt..

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanx, wida... sebab sudi baca CCK.. ;)

      Delete
  2. Terima kasih buat anda2 yg dah baca karya pertama Rara nie..
    Kepada sesiapa yang belum dapatkan, boleh dapatkan di Popular atau MPH okey.. ;)

    ReplyDelete
  3. bagus cerita'y .. :)

    ReplyDelete